Rezeki masing-masing.

Rezeki masing-masing
| Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulilah, masih diberikan kesempatan
untuk menulis hari ini. Mulanya azam tahun baru 2018 nak rajin update blog,
tapi apakan daya, bila kita cuti kerja sahaja, blog pun bercutilah, apa nak dikatakan?
Apa pun, cuti-cuti pun, yang sebenarnya aku sibuk setup bisnes baru.
insyaAllah, semoga Allah permudahkan semua urusan dan usaha kita untuk berubah
kearah yang lebih baik ya! insyaAllah.
Oklah, hari ni nak cerita pasal rezeki masing-masing. Setiap
daripada kita ni sebenarnya dah ditetapkan rezeki. Sejak dalam kandungan lagi,
rezeki kita dah ada. Tapi itu tak bermakna, kita sekadar duduk dan tadah je! Kenalah
berusaha. Agama kita mengajar kita untuk terus berusaha dan berusaha kan. Jadi,
janganlah hanya mengharap sahaja ya.
Ada orang yang rezekinya tersangat mudah. Ada sahaja rezeki
yang datang padanya. Ada orang yang rezekinya sangatlah berat! Buat macam-macam,
semua tak jadi. Ada yang usaha untuk sampai ke puncak, namun bila berada di
tengah-tengah, terus jatuh. Kemudian usaha lagi, jatuh lagi, dan macam itulah
seterusnya.
Allah dah tetapkan
rezeki setiap hambanya.
Kenapa kadang kita nampak, orang usaha banyak, tapi payah
sangat rezeki nak masuk. Tapi ada yang usaha dia sedikit sahaja, tapi rezeki
melimpah ruah. Kadang benda ni yang buatkan macam-macam fitnah timbul. Bila nampak
benda macam ni, mulalah kita nak fikir yang bukan-bukan. Kata orang pakai
pelaris lah, kata orang tarik duit lah, kata orang tipu duit orang lah,
macam-macam.
Manusia biasalah. Mereka tak nampak usaha disebalik mereka
yang berjaya tu. Yang mereka nampak, benda buruk sahaja. Usaha dah sama, buat
benda yang sama, kenapa masih belum berjaya? Kenapa susah sangat rezeki tu nak
masuk.
Benda yang orang tak
nampak.
Kadang kita tak tahu apa yang dia buat disebalik kejayaan
mereka. Mungkin dalam kita sedang nyenyak tidur, dia sedang menangis bersama yang
maha esa. Mungkin dalam RM100 yang diterimanya, hanya sedikit yang diambil dan
selebihnya dihadiahkan kepada mereka yang memerlukan.
Mungkin dalam kita sedang kenyang makan, dia sedang berlapar
kerana berpuasa. Mungkin dalam kita sibuk mencari restoran yang sedap-sedap, dia
sedang sibuk mencari mereka yang kelaparan. Mungkin dalam kita sedang bercakap
tentang keburukan orang, dia sedang berzikir menyebut nama Allah.
Pendek kata, kita tak tahu apa yang orang lain buat sebab
kita tak nampak. Ada masanya kita takut nak keluarkan duit yang kita ada sebab
mungkin pada kita ianya cukup-cukup untuk kita. Tapi tak semua tahu, yang
sedekah itu sebenarnya membanyakkan lagi rezeki kita.
Usaha sahaja tidak cukup kalau tidak dengan keberkatan. Berkat
itu penting. Bukan setakat bersedekah sahaja. Malahan berkat dengan kedua
ibubapa kita. Cuba tengok balik diri kita. Kadang dengan kawan-kawan sendiri,
kita mudah je keluarkan duit.
Tak apa, aku
bayarkan!
Bila makan, kita ada duit lebih, mudah je kita belanja kawan-kawan.
Mungkin sebab kenangkan mereka pernah tolong kita. Atau mungkin ringan tulang
nak bantu kawan-kawan yang sedang dalam kesusahan. Tapi kadang kita lupa, mak
ayah yang dekat kampung tu. Mereka makan apa. Kenyang atau tidak mereka. kalau
mereka susah, senang ke kita nak tolong mereka? Tanya balik diri kita ni.
Hidup ni memang kena berusaha. Bekerja. Tapi kena selalu
ingat. Hubungan dengan yang maha esa kena jaga. Kena rajin bersedekah dan bantu
orang. insyaAllah, Allah bantu kita. bersedekah tak akan buatkan kita jadi
miskin. Solat jaga. Hubungan kekeluargaan kena jaga. Hubungan sesama manusia
kena jaga. insyaAllah, semua benda jadi mudah!
Kalau korang dah berusaha, tapi masih rasa berat lagi rezeki
nak masuk. Cuba lihat kembali. Apakah korang terlalu memikirkan kekayaan dunia
sehingga mengabaikan yang lainnya. Tepuk dada dan tanya hati. Ikhlas dalam
setiap perkara, insyaAllah, dipermudahkan. Amin.
0 Comments