9 Tips dan persediaan sebelum menunaikan umrah | MrEjoy

9 Tips dan persediaan sebelum menunaikan umrah

 

Tips dan persediaan sebelum menunaikan umrah

9 Tips dan persediaan sebelum menunaikan umrah | Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulilah, aku dan keluarga terpilih untuk menunaikan umrah. Rasanya itulah ungkapan yang nak sangat aku tulis dalam blog mrejoy.com ni. Memang lama dah teringin nak ke tanah suci ni, tapi naluri tu jadi semakin kuat nak ke sana dalam tahun 2021 ni. Jadinya, aku ada baca beberapa Tips dan persediaan sebelum menunaikan umrah untuk aku dan keluarga mempersiapkan diri.

Tak lama lagi nak masuk tahun 2021. Tinggal lagi 3 bulan sahaja lagi. Jadi masa itu pada aku cukup untuk aku dan keluarga memperbetulkan apa yang salah. Menambah baik apa yang kurang. Dan memperbanyakkan apa yang sedikit. Dalam pada yang sama ingin berkongsi dengan semua. Pastinya semua pun ada impian nak ke tanah suci mekah dan Madinah kan. insyaAllah.

9 Tips dan persediaan sebelum menunaikan umrah.

Kenapa perlunya persiapan sebegini? Ianya adalah untuk mempersiapkan diri kita dengan mental dan fizikal yang betul agar perginya kita ke tanah suci nanti benar benar dapat menyucikan jiwa dan menguatkan akidah kita.

Baik, kita teruskan dengan Tips dan persediaan sebelum menunaikan umrah ini:

#1. Ikhlaskan niat.

Perkara pertama yang perlu dilihat adalah apakah niat kita ke sana. Niat yang sebetulnya adalah hanya untuk mengharapkan keredhaan daripada Allah semata mata. Dan oleh yang demikian, bermula esok hinggalah sampai tarikh untuk berangkat ke tanah suci, aku dan keluarga perlu tanamkan semangat dan perasaan ikhlas.

Dan apa yang lebih penting, bebaskan diri dari segala tekanan dunia supaya fikiran kami tidak “terganggu” apabila berada di tanah suci kelak.

Bila bercerita tentang niat, itulah yang kita akan dapat. Jika niat kita hanya kerana Allah dan rasul, maka itu yang kita akan dapat. Jika niat kita kerana dunia, maka dunialah yang kita akan dapat.

#2. Perbanyakkan amalan.

Kalau sebelum ini, amalan kita kurang, zikir kurang,kadang baca quran kadang tidak, solat malam, bersedekah, maka kena perbanyakkanlah amalan ini. Sebenarnya, perkara ni bukan sahaja perlu buat sebelum menunaikan umrah, tapi sentiasa. Kerana banyak kebaikan yang bakal diperolehi apabila kita perbanyakkan semua amalan ini.

#3. Muhasabah diri.

Tips seterusnya dalam persediaan diri sebelum menunaikan umrah adalah muhasabah diri. Dalam kata lainnya adalah mendekatkan diri kita dengan Allah. Perbanyakkan istighfar, qiamullai, serta perbanyakkan solat sunat tahajud.

#4. Taubat nasuha.

Kita pasti ada dosa. Pasti. Jadi bertaubatlah. Dan tinggallah segala perkara dan perbuatan mungkar. Bersihkan diri kita terlebih dahulu daripada dosa. Taubat nasuha ini ada beberapa syarat, antara lainnya adalah:

  • Menyesal atas segala dosa lampau
  • Perlu tinggalkan segera perbuatan dosa tersebut
  • Berazam tidak akan mengulangi perbuatan tersebut
  • Jika berdosa sesama insan, perlu memohon maaf daripada mereka terlebih dahulu dan kalau terambil hak orang, perlu segera pulangkan hak mereka.

#5. Perbaiki kualiti solat

Kalau solat kita kekal sama daripada dulu sampai ke hari ini, maka perlulah tambah baik. Contoh perbaiki agar solat kita lebih khusyuk tapi ada sedikitkan kepala kita memikirkan tentang dunia. Ini termasuk juga bacaan surah dan tajwid.

Diantara cara untuk memperbaiki solat kita agar lebih khusyuk adalah dengan memperbanyakkan solat sunat.

#6. Perbanyakkan puasa.

Kalau sebelum ini, sewaktu bulan Ramadhan pun ada yang tinggal puasa, maka perbetulkan. Dan di tambahkan lagi dengan puasa sunat. Puasa mampu menundukkan nafsu. Dan yang lebih penting, sebelum berangkat menunaikan umrah, ganti dahulu puasa yang tertinggal sebanyakkan mungkin. Dan kalau ada yang puasa nazar, laksanakanlah dengan segera.

#7. Belajar kawal perasaan dan bersabar.

Pastinya, kita akan diuji dengan macam macam perkara. Umum mengetahui, terlalu ramai manusia di tanah suci. Jadi, kesabaran amat penting. Ini juga termasuk nafsu kita apabila berada di sana. Takut nanti berubah apabila kita lebihkan membeli belah daripada niat kita yang sebenar.

#8. Jauhi sifat sombong.

Kalau sebelum ini, kita ada rasa sombong dalam diri, bermula esok, buang semua sifat itu. Apa yang mahu dibanggakan jika kita sekadar hamba padanya. Yang hidup menumpang di atas muka bumi ini. Apa yang lebih membimbangkan kalau kalau kita menjadi lebih lebih sombong apabila “Berjaya” menjejakkan kaki ke tanah suci mekah dan Madinah nanti.

#9. Istiqamah

Dan tips yang terakhir dalam Tips dan persediaan sebelum menunaikan umrah adalah istiqamah. Pastinya apa yang kita buat ini aka nada turun naik. Itu pasti. Mungkin awal kita bersemangat, namun di tengah nanti kita kembali kepada diri kita yang lama. Pada aku mudah, kalau benar benar ikhlas nak menunaikan umrah, maka perbetulkan diri. Selagi mana belum Berjaya ubah, buat sampai jadi. Ok?

Orait, Ada masa lagi 3 bulan ini, aku harap aku dan keluarga Berjaya memperbetulkan segala kelemahan dan tambah baik kualiti dalam setiap perkara. Aku doakan korang dan keluarga juga, insyaAllah, sama sama dapat menunaikan umrah dan haji. Ok! Doakan untuk kami juga ya! Jumpa lagi!

Share:

0 comments