5 Persiapan Menyambut kedatangan Bulan Ramadan Al Mubarak
5 Persiapan Menyambut
kedatangan Bulan Ramadan Al Mubarak | Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Allahu ya rabbi ya fattahu ya alim. Pastinya semua umat islam menghitung detik
akan ketibaan bulan yang penuh rahmat yakni bulan Ramadhan Al Mubarak. Ramadan
kali ini pasti akan menjadi lebih bermakna buat aku sekeluarga kerana kali ini
kami hanya menyambut bulan ini bersama adik beradik sahaja selepas pemergiaan
Ayahanda tercinta kami tahun lepas. Namun, di dalam kesedihan itu, segala macam
persiapan menyambut bulan Ramadhan tetap juga perlu di lengkapkan.
5 Persiapan Menyambut kedatangan Bulan Ramadan Al Mubarak
Lagu-lagu puasa mula kedengaran seminggu dua ini. Antara lagu
yang mula bermain di dalam minda aku adalah lagu Lailatul Qadar oleh kumpulan raihan. Setiap kali menjelangnya bulan
puasa, lagu ini memang lagu favourite aku. Kerana setiap bait ayatnya,
benar-benar membawa aku “masuk” ke dalam bulan rahmat ini. Antara bait liriknya
adalah:
Di Dalam Bulan Ramadhan
Ada Satu Malam
Nilainya Menyamai
Dengan Seribu Bulan
Singkaplah Tabir
Di Sepuluh Malam Terakhir
Berlumba Kita Mencari KeredhaanNya
Hidupkan Malam Beribadah Dan Iktikaf
Berdoa, Bertasbih Dan Memohon Keampunan
Baiklah, hari ini aku nak kongsikan beberapa tips persiapan menyambut bulan Ramadhan.
Yang sebenarnya bukan tips sangatlah, kerana selama kita hidup ini, memang
setiap tahun kita berpuasa kan. Namun,ianya boleh kita ajarkan pada anak-anak
kita, insyaAllah. Semoga semua tips ini dapat persiapkan diri kita bagi menyambut
bulan Ramadhan.
#1. Persiapan rohani
Bagi persiapan rohani ini, kita digalakkan untuk
memperbanyak puasa di dalam bulan sya’aban. Ini bagi membiasakan diri dan nafsu
makan kita. Bayangkan 11 bulan kita makan dan minum tanpa henti. Jadi persiapan
ini bagi “meredakan” nafsu makan kita.
Kita juga di galakkan untuk membiasakan diri kita untuk
bangun awal pagi. Kita boleh solat tahajjud, dan kemudiannya baca Quran dan
bersahur. Bulan Ramadhan adalah bulan berkat. Segala pahala kita akan digandakan
Allah. Jadi bermulalah daripada sekarang ya.
#2. Persiapan jasmani
Kalau di awal tadi, kita persiapkan rohani kita bagi
menyambut kedatangan bulan Ramadhan, kali ini adalah persiapan jasmani.
Bagi persiapan ini, kita digalakkan untuk mula mengurangkan
pengambilan makanan kita. Kalau sebelum ini, makan kita banyak, belum di tambah
dengan makanan tambahan lagi (jenis yang suka kunyah-kunyah ni) jadinya, mulai
hari ini, kita sama-sama kurangkan pengambilan makanan harian kita.
Jenis makanan juga perlu dilihat. Ambil makanan yang
benar-benar memberi khasiat kepada tubuh badan kita dan bukannya makanan yang
sekadar memberikan kita rasa kenyang sahaja.
#3. Persiapan harta
Baik, tips persiapan
menyambut bulan Ramadhan yang ketiga adalah persiapan harta. Seperti yang
ada aku beritahu tadi, segala kebaikan yang dilakukan di dalam bulan Ramadhan akan
digandakan termasuklah pahala bersedekah.
Sedekah boleh dilakukan dengan 2 cara. Sama ada kita beri
wang atau makanan. Dan keduanya memerlukan wang. Jadinya persiapkan awal-awal
simpanan wang yang ingin kita gunakan bagi tujuan ini.
Namun harus diingatkan ya, bukannya simpan duit awal-awal
sebab nak beli baju raya mahal-mahal. Nak show off waktu pagi raya nanti ya,
jangan.
#4. Persiapkan diri
dengan ilmu
Tips seterusnya adalah persiapkan diri kita dengan ilmu. Penuhi
kotak ilmu kita dengan kelebihan berpuasa. Juga penuhi masa kita dengan
mempelajari bacaan Al-quran. Boleh juga kita penuhi dengan kisah-kisah nabi dan
para sahabat semasa bulan Ramadhan.
#5. Persiapan emosi
Dan tips terakhir dalam Persiapan
Menyambut kedatangan Bulan Ramadan Al Mubarak adalah persiapan emosi.
Latih diri kita untuk bercakap perkara yang perlu sahaja. Berhenti mengumpat atau mengata orang lain. Kalau ada yang kita kata sebelum ini, minta maaf siap-siap dengan orang tersebut. Kalau yang jenis panas baran, belajar control emosi kita bermula sekarang. Ingat, lidah itu boleh jadi lebih tajam daripada pisau.
Baiklah, itulah 5 Persiapan Menyambut kedatangan Bulan Ramadan Al Mubarak. Semoga kita dapat mempersiapkan diri kita bagi menyambut bulan yang penuh rahmat ini. Anggaplah ini merupakan Ramadhan terakhir buat kita. Bersungguhlah di dalam mengejar pahala di dalam bulan ini. Semoga amal ibadat kita di terima Allah, aminnn.
0 Comments