7 persediaan sebelum berhenti kerja. No 7 Sangat penting!
7 persediaan sebelum
berhenti kerja. No 7 Sangat penting! | Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, aku yakin masih ramai yang
sanggup berhenti kerja. Bukan kerana mereka langsung tidak tahu mengenai
keadaan semasa namun “kehidupan” mereka lebih penting. Dan atas alasan itu,
mereka memilih untuk berhenti kerja. Hari ini aku ingin kongsikan dengan semua
apakah persediaan yang perlu korang buat sebelum buat keputusan untuk berhenti
kerja.
Kenapa memilih untuk berhenti kerja?
Kadang aku suka Tanya, kenapa nak berhenti kerja? Sebab apa
nak berhenti kerja? Apa yang kurang? Atau ada masalah apa di tempat kerja? Atau
mungkin dapat peluang yang lebih baik di tempat lain? Ada pelbagai persoalan
kan? Dan pastinya soalan-soalan ini korang juga kerap tanyakan.
Baik, di antara banyak jawapan, aku lebih suka dengan
jawapan “dah tak serasi dengan environment di tempat kerja. Besar sebenarnya
maksud environment tu, untuk lebih faham, dah tak serasi nak bekerja sama ada
dengan ketua atau pihak atasan.
Banyak sebenarnya yang aku jumpa, kerja langsung tidak
memberi masalah kepada mereka. Apa sahaja kerja yang diberi, pasti akan
dilaksanakan. Bahkan ada yang bekerja lebih daripada 10 tahun. Ini bermakna,
mereka langsung tiada masalah dengan kerja.
Namun, bercerita mengenai ketua atau pihak atasan, di sini
ramai yang membuat keputusan untuk berhenti kerja. Dek kerana, mungkin mereka
bekerja dengan orang yang tidak ada hati perut? Mungkin? Atau dengan mereka
yang tak mahu ambil tahu masalah orang bawahan? Mungkin? Atau mereka bekerja
dengan orang yang hanya fikirkan diri mereka sahaja? Tanpa pernah fikir orang
bawah?
Nak berhenti kerja tapi takut?
Aku pasti ramai sebenarnya yang nak berhenti kerja tapi
takut. Di antara ketakutan itu adalah:
i) Takut tak dapat bayar komitmen bulanan. Yelah, kalau dah
berhenti kerja, macam mana nak bayar duit rumah, duit kereta, duit insurans,
duit belanja, pelbagai bil dan sebagainya. Ini adalah ketakutan terbesar bagi
semua orang pastinya.
ii) Ketakutan kedua adalah, takut income bulanan tak ada. Kalau sebelum
ini, cukup bulan dapat gaji. Kerja baik atau tidak, hujung bulan pasti gaji
masuk. Dan mereka yang memilih untuk berhenti kerja dan berniaga, pastinya akan
risau pasal perkara kedua ini. Kalau gaji bulanan tak ada, macam mana nak
selesaikan masalah di atas tu kan?
iii) Takut orang sekeliling cakap. Ini aku selalu jumpa. Dah kerja
elok-elok, berhenti dan meniaga pasar malam (contoh). Member yang masih kerja
pergi pasar malam dan jumpa member ini berniaga. Kemudian dia pun cakap, dah
elok kerja baik pergi berhenti buat apa? Tengok dah susah.
Maaf cakap ya, rata-rata yang aku jumpa semua macam ini lah.
Cuma aku nak kasitahu sedikit, apa korang fikir mereka yang berniaga pasar malam
ini, income mereka kecil ke? Silap-silap lagi besar daripada mereka yang
mengata tu. Kikiki.
iv) Takut tak dapat benefit sedia ada. Sewaktu kerja dengan
syarikat, ada macam-macam benefit yang mereka dapat. Contoh paling utama adalah
kesihatan. Sewaktu kerja, syarikat bayarkan kesihatan diri,isteri dan
anak-anak. Boleh pilih nak masuk hospital kerajaan ataupun hospital swasta. Pergi
klinik ambil ubat pun tak pernah kena bayar
Tapi kalau berhenti, dah nak kena fikir semua tu kan? Nak ambil
ubat di klinik, bayaran siap dengan nasihat doctor bukan murah. Jadi ini juga
masalah terbesar yang dihadapi ramai orang dan akibatkan mereka ini takut nak
berhenti kerja.
7 persediaan sebelum berhenti kerja
Hari ini aku nak kongsikan, beberapa persediaan sebelum
berhenti kerja dan pastinya, penyelesaian kepada masalah takut nak berhenti
kerja tu.
#1. Tahu berapa jumlah
komitmen bulanan.
Perkara pertama yang korang kena tahu adalah berapa jumlah bayaran
bulanan korang. Contoh sebulan bayaran keseluruhan komitmen adalah sebanyak
RM2000. Ini termasuk dengan bil, bayaran kereta,rumah dan sebagainya ya. Jumlah
tersebut mungkin berbeza bagi setiap orang, jadi senaraikan sendiri komitmen
bulanan korang ya.
#2. Kenalpasti berapa
belanja bulanan
Selepas tahu berapa komitmen sebulan. Korang kena kira pula
berapa belanja bulanan korang. Contoh sebulan korang belanja RM1500 (jumlah ini
pasti berbeza bagi setiap orang ya). Belanja ini termasuk waktu cuti korang
pergi berjalan-jalan, termasuk juga makanan dan hiburan lain. Kira semuanya ya.
#3. Kenal pasti
berapa bayaran kesihatan
Selepas dah kenal pasti 2 belanja di atas, korang kenal
pasti pula berapa jumlah bayaran kesihatan. Cuba tengok dalam sebulan, berapa
kali korang atau keluarga ke klinik. Aku lebih suka ambil average setahun. Kemudian,
jangan terlepas pandang belanja hospital ya. Masukkan sekali. Boleh jadi
selepas korang berhenti, pilih sahaja hospital kerajaan kerana bayarannya lebih
murah.
Tapi prinsip aku, jika korang berani keluar daripada zon
selesa, korang mesti dapatkan yang lebih baik daripada yang baik. Kalau sebelum
ini, boleh ke hospital swasta, takkan dah berhenti tak boleh kan? Mesti usaha
dapat yang lebih baik. Jadi, aku letak kasar belanja kesihatan RM2000 (dan
sekali lagi, belanja ini berbeza bagi setiap orang ya).
#4. Simpanan 3,6 dan
12 bulan
Selepas dah kenal pasti semua belanja, korang perlu sediakan
simpanan bulanan sama ada 3 bulan, 6 bulan ataupun setahun. Banyak yang aku
belajar, rata-rata orang nasihatkan agar ada simpanan selama setahun. Contoh aku
beri di atas, jumlah semua belanja bulanan adalah RM5500.
Jadi, simpanan :
- 3 bulan : RM16,500
- 6 bulan : RM33,000
- 12 bulan : RM66,000
Simpanan ini adalah sangat penting ya. Kerana ianya menjadi “benteng”
buat korang. Andai kata berlaku sesuatu yang tidak diingini, korang boleh
gunakan duit simpanan ini. Contoh, nak berniaga, tapi tak jadi, korang dah ada
simpanan selama setahun. Dan dalam masa setahun tu, pasti ada banyak usaha lain
kan? Ini sememangnya sangat membantu.
#5. Rangka pelan yang
lengkap.
Seterusnya dalam persediaan sebelum berhenti kerja adalah
rangka pelan yang lengkap. Ambil contoh nak berniaga. Pastinya korang ada plan
sendiri kan. Ada produk ini, kemudian pasarkan di offline dan online. Dan nasihat
aku adalah, jangan sekadar ada 1 pelan sahaja.
Boleh jadi apa yang dirancang tidak menjadi, jadi korang
kena sediakan banyak plan. Boleh jadi plan B,C,D,E berapa pun tak kisah. Kalau buat
ini tak jadi, korang buat plan B, tak jadi plan B, korang buat plan C dan begitulah.
Kena ada banyak plan “pemulihan”.
#6. Mula lebih awal
Aku suka nasihatkan orang dengan perkara no 6 ini. Jangan
tunggu dah berhenti kerja baru nak mula. Kalau nak berniaga, mulakan lebih
awal. Penat sedikitlah. Mungkin siang korang bekerja makan gaji, malam korang
berniaga.
Atau 5 hari bekerja makan gaji, hujung minggu korang
berniaga. Yang penting, korang mula dari awal. Bila semuanya dah selesa dan
stabil. Korang akan hantar surat berhenti kerja dengan perasaan bangga. Tanpa perlu
fikir apa-apa.
#7. Percaya rezeki
Allah itu luas
Dan akhir sekali adalah, percayalah, rezeki Allah itu
sangatlah luas. Sampai kadang rasa macam tak logik dek akal dari mana datang
rezeki yang melimpah ruah. Jadi, berlapang dada, percaya! Rezeki itu luas.
Aku sebenar tak suka dengan ayat, kalau berhenti ni, boleh
hidup ke? Anak isteri nak makan apa? Apa mereka ingat, rezeki tu ada 1 tempat
sahaja ke dalam dunia ini? Aku sejujurnya memang tak suka dengan ayat macam
ini.
Dan nasihat aku pada rakan-rakan yang terima ayat macam ini,
percaya rezeki Allah itu luas. Buktikan kepada kawan-kawan yang cakap macam
itu, tunjukkan kepada mereka. Tapi janganlah menyombong diri ya, tak elok sifat
itu, ok!
1 Comments
Setuju dgn penulis. Perkara yg menghalang kita utk berhenti kerja adalah kerana takut dgn masa depan dan x percaya dgn rezeki Allah. Sedangkan Allah Maha Kaya
ReplyDelete